PSM atau MASTAF ???

| July 24, 2022

(Takraw Malaysia Bercelaru)

Oleh: Dr Pekan Ramli
Sumber: https://cakapsukan.com/
Tarikh: 12 Julai 2022

Bicara Otai Sukan

Kemelut Sepak Takraw Negara kini membelenggu dua Persatuan Sukan Kebangsaan. Kedua-duanya sah (halal atau berdaftar) di sisi Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia. Cuma satu (PSM) sudah dilucutkan sebagai ahli gabungan di peringkat antarabangsa sejak Mac lalu, manakala satu lagi (MASTAF) baru disahkan dan diperakui sebagai ahli gabungan di peringkat Asia (ASTAF) dan antarabangsa (ISTAF).

Tak perlu saya ‘throw back’ atau kupas semula kronologi atau punca terjadinya haru biru ini. Kedua-dua entiti ini bagai

sedang berperang saraf untuk mempertahankan prinsip atau hak asasi masing-masing. Sebuah entiti (PSM) yang sudah ujud lebih 62 tahun (sejak awal 1960) dan satu entiti baru (MASTAF) yang ujud ditengah pergolakan antara PSM, ASTAF dan ISTAF.

Cuma ini bukan bab “Gajah sama gajah bergaduh, pelandok mati di tengah-tengah” tak tepat pula untuk saya kaitkan dengan krisis di antara kedua-dua watak popular ini. Kalau saya nak ‘metafora’kan krisis ini mungkin saya terpaksa ujudkan satu peribahasa baru “Dua ekor ayam betina bergaduh, habis pecah semua telor di tengah-tengah”. Ini mungkin peribahasa baru yang mudah sedikit untuk difahami.

Ironinya kemelut Sepak Takraw ini amat sukar untuk difahami. Ianya lebih kepada mungkin pertikaian peribadi di antara pemimpin tertinggi di peringkat serantau dan antarabangsa tetapi Persatuan Sukan Kebangsaan yang dipimpin oleh pemimpin itu turut menjadi ‘kambing hitam’. Hingga ke tahap ‘gembala kambing’ yang tegar dan enggan mengalah itu akhirnya digantung 15 tahun.

Saya pun hairan, sepatutnya jika ‘Gembala’ yang dibenci sudah tiada, biarlah kambing-kambing meneruskan hidup dengan pengganti ‘gembala’ yang baru. Malangnya itu pun tak boleh. Bagaikan dendam kesumat ‘Tuan Tanah Kedaung’ yang meluap-luap, pengganti ‘gembala’ yang baru juga tidak dilayan dan diiktiraf, malah reban kambing juga kalau boleh hendak dibakarnya sekali. Apa sekalipun ikrar dan janji serta rayuan pengganti ‘gembala’ yang baru tidak diendahkan. Itulah natijahnya,

ianya bagaikan ‘berpatah arang berkerat rotan’. Kalau hati sudah hitam, hitamlah tak akan jadi putih.

Jadi Salah Siapa dan Angkara Siapa Semua ini???

Yang peliknya, tiba-tiba muncul ‘gembala putih’ bersama kumpulan kecil dari seberang yang dengan mudah sahaja diberikan lesen dan diluluskan untuk beroperasi. Baru dua tiga bulan jagung (maknanya belum setahun jagung) yang hairannya ‘Gembala Putih’ ini begitu akrab dengan ‘Tuan Tanah Kedaung’ di seberang tambak hingga dijanjikan dan dibenarkan membina ‘reban baru’ dan diterima serta diiktiraf pula bergabung dengan rantaian bisnes di peringkat antarabangsa. Apakah situasi ini boleh diibaratkan umpama ‘menangguk di air yang keruh’. Allahhualam….

Kuat sungguh pengaruh ‘Gembala Putih’ ini. Entah apa agaknya yang dijanjikan atau disembunyikan, harap-harap tidak ada janji-janji manis yang ada kena mengena dengan PRU15 nanti. Harap-harap mereka juga perlu berhati-hati kerana ‘bersahabat dengan ular’. Kita bimbang nanti dengan ujudnya dua entiti ini sukan sepak takraw kita ini jadi ‘bagai belacan dikerat dua’, yang pergi busuk dan yang tinggal hanyir. Kita juga tidak mahu entiti baru ini nanti jadi ‘bagai kerbau dicucuk hidung’. Eloklah kalau lupakan segala keegoan masing-masing.

Duduklah semeja, kalau tak boleh semeja, duduklah beberapa meja pun tak apa, jarak-jarakkan sikit, asalkan tidak ada tembok atau hadangan untuk berbincang ke arah kebaikan. ‘Jangan sampai

digenggam takut mati, dilepaskan takut terbang’.

Bukan apa, saya bimbang tanpa ilmu pengetahuan yang cukup serta memahami selok belok sebenar tentang apa yang tersurat dan tersirat, nanti mudah sesat dan terperosok pada hal-hal yang merugikan.

Jangan biarkan krisis ini berpanjangan hingga masing-masing nanti ‘seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing’. Ingatlah ‘api kecil masih boleh dipadam’. Jangan krisis ini sampai ke tahap ‘bagai getah di bawa ke semak’. Sudah terlambat untuk diselamatkan, dan yang rugi siapa????

Saya juga sama seperti pengiat sukan sepak takraw yang lain, termasuk pemain-pemain, pegawai persatuan, pegawai teknikal dan pengadil yang kini sedang pening-pening lalat. Mana satu persatuan yang harus kita dampingi dan ikuti???

Beginilah, untuk pengetahuan semua, setakat ini dua-dua entiti ini halal dan berdaftar dengan pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia seperti yang termaktub dalam Akta Pembangunan Sukan 1997.

Cuma, kepada mereka yang setia dengan yang lama, teruskan, tetapi pembabitan terhad untuk laluan di dalam negara sahaja. Yang penting, jangan jadikan krisis ini sebagai penghalang untuk meneruskan kecintaan pada sukan warisan kita ini.

Kepada mereka yang bercita-cita tinggi untuk terbabit hingga ke peringkat antarabangsa, maka bergabunglah dan

gunakan entiti baru ini yang telah menyediakan laluan jalur lebar yang sah, suka atau tak suka, hanya itu pilihan yang ada setakat ini.

Kepada PSM dan MASTAF, ketahuilah di luar kesedaran kita, kita sebenarnya mudah sahaja diperlekehkan dan ditertawakan oleh seseorang dari seberang sana.

Tamat

** Dr Pekan Ramli merupakan Ketua Seksyen Sukan, Kementerian Pengajian Tinggi

Category: Lagenda Emas