Hamid Mydin – Pencipta dan Pengasas Permainan Sepak Takraw
“PENGENALAN”

En Hamid Mydin
Pencipta Dan Pengasas Permainan Sepak Takraw “Father of Modern Takraw”
(19 Disember 1916 – 18 Disember 1991)
Sepak takraw atau sepaktakraw merupakan sejenis permainan di antara dua pasukan atau regu yang dianggotai oleh tiga orang pemain bagi setiap regu. Mempunyai jaring yang memisahkan di antara kedua-dua regu dan dimainkan di gelanggang yang berukuran sama seperti gelanggang badminton. Bola takraw pula pada asalnya diperbuat daripada rotan dan kini telah digantikan dengan penggunaan bola sintetik. Sepak Raga pula merupakan permainan menimang bola takraw dalam bulatan dengan menggunakan kaki atau kepala dan telah dimainkan semenjak Zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi. Dalam Sulatus Salatin ada menceritakan mengenai Raja Muhammad, putera Sultan Mansor Shah Muhammad yang tertanggal tanjaknya akibat terkena bola raga tendangan Tun Besar.
Di Malaysia permainan ini disebut ‘sepak raga’, di Filipina ‘sipa’, di Burma ‘chinlone’, di Laos ‘kator’, dan di Thailand ‘takraw’. Permainan sepaktakraw yang ada sekarang merupakan adaptasi permainan sepak raga dan badminton. Pada tahun 1940an permainan ini telah dimainkan dengan menggunakan jaring dan mengikut sistem kiraan mata seperti badminton. Undang-undang dan peraturan awal permainan sepak raga jaring telahpun digubal dan disusun secara bertulis pada 15 April 1960 di Kuala Lumpur. En Hamid Bin Mydin merupakan orang yang diiktiraf sebagai pencipta dan pengasas kepada Sepakraga Takraw. Siapakah En Hamid Bin Mydin ? Apakah cerita di sebaliknya sehingga beliau diktiraf dengan pengasas dan pencipta sepak takraw ?? Siapakah manusia pereka yang telah berjasa mencipta permainan sepak raga moden menggunakan jaring ini? Bagaimana dia mendapat ilham supaya pemain-pemain menggunakan “Smashing Tajam” dengan kepala dan “Sepak Maut” untuk mematikan langkah lawan. Taktik-taktik baru yang mengagumkan ini terdapat dalam permainan sepak raga jaring yang mula-mula sekali diperkenalkan di Jalan Patani, Pulau Pinang pada tahun 1946.
“BIOGRAFI”
Hamid Mydin dilahirkan pada 19 Disember 1916 dan ketika itu tinggal di Jalan Patani, Pulau Pinang. Pada ketika itu, permainan Sepakraga Bulatan di main di merata tempat terutama di kampung-kampung terdiri daripada kalangan orang tua sahaja. Anak-anak muda mula menjauhkan diri dari permainan ini dan Sepakraga Bulatan sudah hilang daya penariknya. Penonton yang menyaksikan pertandingan pun boleh dihitung dengan jari walaupun pihak penganjur menyediakan hadiah-hadiah. Di atas sebab-sebab inilah mendorong Hamid Mydin untuk mengubah dan memodenkan permainan Sepakraga. Tergambar di fikirannya bagaimana permainan ini menggunakan jaring dan gelanggang badminton.
- Kediaman Hamid Mydin di No. 132H Kg Rawa, Jalan Patani, Pulau Pinang.
- (Rumah ini telah dirobohkan sekitar tahun 1975)
“SEJARAH DAN PEMBANGUNAN”

Tapak bekas Hospital Haiwan Jalan Patani Pulau Pinang tempat terciptanya Permainan Sepak Takraw Februari 1946 kini dipenuhi rumah pangsa puluhan tingkat
Permainan baru ini sejak itu mendapat perhatian ramai. Pemain-pemain muda mula meninggalkan permainan bulatan dan berpindah kepada permainan yang lebih menarik ini menggunakan 3 pemain sebelah dan berjaring yang kemudiannya dinamakan Sepakraga Jaring.

Hamid Mydin berdiri di barisan belakang
hujung kiri berkaca mata hitam
(Gambar Kenangan Perhimpunan rakan- rakan seperjuangan sepak takraw tahun 50-an)

Hamid Mydin (membelakangi kamera) selaku ketua pasukan sepakraga MEGAWATI menerima hadiah johan daripada Pegawai Daerah Yan, Kedah bertempat di kawasan mahkamah Yan Kedah tahun 1959

Hamid Mydin sedang berbincang bersama Yussof Latiff di mesyuarat penubuhan “Jawatankuasa Penaja Perseketuan Sepak Raga Jaring Malaya” pada 28 Januari 1960 di bangunan Persatuan Melayu Pulau Pinang No. 160 Jalan Perak Pulau Pinang.
(Gambar ihsan : Dato’ Seri Haji Yussof Latiff)
Bangunan baru Balai Rakyat Jalan Patani Pulau Pinang
“ANUGERAH”
Beliau juga kemudian dianugerah Pingat Jasa Masyarakat oleh T.Y.T Tun Haji Sardon Bin Haji Zubir, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang bersempena harijadi T.Y.T yang ke-62, 1979
Penganugerahan seterusnya beliau terima Pingat Pangkuan Negara daripada DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong ke-8 Almarhum Sultan Mahmud Iskandar Al-Haj bertempat di Istana Negara Kuala Lumpur pada 26 Ramadhan 1406 bersamaan 4 Jun 1986
Persatuan Melayu Pulau Pinang tidak ketinggalan memberikan penghargaan kepada Hamid Mydin. Beliau dianugerahkan Tokoh Sukan Sepak Takraw 1988.

Yang Di Pertua Persatuan Melayu Pulau Pinang Datuk Haji Mohd Yussof Latiff sedang menyampaikan “Sijil Penghargaan Kepada Seorang Tokoh” kepada Hamid Mydin
“PAMERAN MINGGU SUKAN MALAYSIA”

Hamid Mydin bersama rakan, Encik Hassan Said dan anak, Mohd Zahari
di Muzium Negara Kuala Lumpur sempena
PAMERAN MINGGU SUKAN 25 Mei 1979 hingga 17 Jun 1979

Selain sepak takraw, Hamid Mydin aktif juga di bidang politik UMNO cawangan Jalan Patani Pulau Pinang.
(Gambar kenangan beliau bersama Tun Abdul Ghafar Baba, Mac 1982)
“KEMBALI KE RAHMATULLAH”
Hamid Mydin telah kembali ke Rahmatullah di kediaman anaknya No. E-G-10 Taman Abidin Jalan Perak Pulau Pinang pada 18 Disember 1991 bersamaan 12 Jamadil Akhir 1412H di usia 75 tahun dan jenazahnya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Perak, Pulau Pinang. “Mudah-mudahan roh Allahyarham Hamid Mydin ditempatkan di kalangan orang-orang yang dikasihi ALLAH S.W.T”
Hamid Mydin tidak terkenal kerana kemungkinan tiada NAMA, PANGKAT, HARTA, dan KRONI