Hamid Mydin: Satu Pengisahan Bapa Sepak Takraw Dunia

KHIR Johari (kanan) menyematkan Pingat Emas Khir Johari pada majlis pengisytiharan Hamid Mydin sebagai Pencipta dan Pengasas Permainan Sepak Raga Jaring pada 1977. – Foto infotakraw.com

PIALA Emas Khir Johari 1962, Sukan SEAP 1965, Kejohanan Asia 1980, Piala Raja Thailand 1984, Sukan Asia 1990, Piala Dunia dan Siri Super Istaf 2011.

Dalam kejohanan dan temasya besar inilah, sepak raga jaring atau kemudiannya, sepak takraw mula dipertandingkan hasil ilham dan karya asal seorang lelaki Pulau Pinang, Hamid Mydin (Allahyarham).

Hanya bermula dengan hasrat cuba mencari kelainan dan beralih selera daripada sepak raga bulatan sambil mengambil inspirasi badminton, maka lahirlah sepak raga jaring yang lama-kelamaan menjadi sebuah sukan antarabangsa yang kini dimainkan lebih 40 negara di seluruh dunia.

Sepak takraw juga bermula dengan hanya sebutir pingat emas acara regu berpasukan yang menjadi rebutan empat negara iaitu Malaysia, Singapura, Thailand dan Laos dalam Sukan SEAP 1965 di Stadium Negara, Kuala Lumpur.

Kini sehingga 11 pingat emas sepak takraw bakal dipertandingkan dalam Sukan Dalam Dewan Asia dan Seni Tempur Keenam di Bangkok dan Chonburi, Thailand pada 17 hingga 26 November 2023 termasuk aneka acara campuran.

Laman sesawang infotakraw.com melaporkan, Hamid yang tinggal di Kampung Rawa, Jalan Patani, lahir pada 19 Disember 1916 dan meninggal dunia di Taman Abidin, Jalan Perak, Pulau Pinang kira-kira pukul 11.50 malam, 18 Disember 1991.

Infotakraw.com milik anaknya, Mohd. Zahari Hamid itu turut menunjukkan kematian Allahyarham berpunca daripada serangan jantung, sehari sebelum menyambut ulang tahun kelahirannya ke-75.


Hari ini, genap 30 tahun Hamid kembali ke rahmatullah dan jenazahnya telah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Perak, Pulau Pinang.

HAMID Mydin berkata sesuatu kepada Mohd. Yussof Abdul Latiff (empat dari kiri) dalam mesyuarat penubuhan PSRPTM di Balai Rakyat Jalan Patani, Pulau Pinang pada 1960. – Foto infotakraw.com

Bersama-sama rakan sepermainan sepak raga bulatan, Mohamad Abdul Rahman (Allahyarham) dari Jalan Hatin dan Yaacob Syed (Allahyarham) dari Sungai Pinang, Hamid dan tiga lagi pemain, mempelopori sepak raga jaring di tapak bekas Hospital Haiwan di Jalan Patani, Pulau Pinang pada Februari 1946.

Wartawan akhbar Utusan Malaysia, Ali Salim (Allahyarham) dalam rencana keluaran 23 Ogos 1985 sempena Kejohanan Sepak Takraw MAS-Utusan Malaysia 1985, memetik jejak-jejak awal Hamid sebagai ‘Bapa Sepak Takraw Dunia’ yang berkata: “Saya gariskan kapur tulis di atas jalan tar kawasan hospital itu panjangnya 44 kaki dan lebar 22 kaki (13.41 meter x 6.71 meter).

“Tali rami saya regang di tiang yang ada di situ, tingginya 5 kaki 3 inci (1.60 meter). Saya ambil bola sepak raga buruk dan menyuruh Mohamad di sebelah (kawasan lawan). Kami pun menendang bola itu pergi balik cara satu lawan satu.

“Keesokan petangnya, kami datang lagi ke situ dengan dua lagi rakan serta bermain dua lawan dua (seperti beregu badminton). Belum puas hati bermain begitu, kami datang dengan enam orang pula petang ketiganya lalu bermain tiga lawan tiga (antara regu sepak takraw sekarang).

“Saya minta dua rakan lagi berdiri di hadapan saya (apit kiri dan apit kanan) dan saya berdiri di tempat tekong. Mohamad pula mengambil tempat di sebelah sana (kawasan lawan) dan bermain di bahagian hadapan (apit) dengan seorang lagi tekong dan pemain depan (apit),” lapor rencana itu.

Mantan Setiausaha dan Timbalan Presiden Persekutuan Sepak Raga Persekutuan Tanah Melayu (PSRPTM, kemudiannya Persatuan Sepak Takraw Malaysia – PSM), Tan Sri (Dr.) Mohd. Yussof Abdul Latiff berkata, “kami berkawan rapat, ketika itu saya bermula sebagai pengadil.

“Hamid memang aktif dalam sepak raga bulatan dan jaring dengan mewakili pasukan Jalan Patani. Mulanya ada sedikit perdebatan tentang sama ada hendak pakai nama sepak raga jaring atau sepak raga jala.

“Bagi membezakan jala itu sejenis alat untuk menangkap ikan di laut, kami pilih jaring yang lebih sesuai dengan penggunaannya atau satu permainan di darat.

“Badminton begitu popular ketika itu lalu timbul idea Hamid, mengapa tidak sepak raga juga dimainkan seperti sukan itu dengan undang-undang dan sistem kiraan mata yang sama,” katanya kepada BebasNews.

Menurut Yussof, Hamid ialah seorang tekong yang boleh dianggap bagus juga permainannya dan mempunyai minat mendalam pada sepak raga malah terdapat sebuah pasukan lain pernah diwakilinya yang bernama Siong Wak Ular.

“Dia jadi kapten pasukan itu. Saya juga antara penonton dan pengadil yang menyaksikan zaman awal kemunculan pertandingan sepak raga jaring termasuk bagi merebut Perisai SM Aidid,” katanya.

Permainan sepak raga jaring dalam era itu, dimatikan tidaklah dengan kekuatan tenaga malah tandukan penyudah hanya ditujukan ke tempat kosong lawan (placing), penuh dengan tipu helah dan kurang deras.

“Tiada langsung lonjakan atau putaran badan pemain gaya akrobatik yang tinggi-tinggi seperti era 70-an sehingga sekarang,” kata bekas Setiausaha Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) yang beribu pejabat di Jalan MacAllister, Pulau Pinang ini.

Sambutan orang ramai terhadap cabang baharu sepak raga ini cukup hangat memandangkan berdekatan gelanggang bekas Hospital Haiwan Jalan Patani itu terdapat kuarters kakitangan Jabatan Veterinar, ujar Yussof.

“Filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, ‘Ibu Mertuaku’ (1962) turut pernah menjalani penggambaran di kawasan berdekatan.

“Dalam adegan Abang Ali (lakonan M. Zain – Allahyarham) mahu menunjukkan rumah sewanya kepada Kassim Selamat (Ramlee) dan Sabariah Mansor (Datuk Sarimah Ahmad), ada latar belakang sekumpulan pemuda yang bermain sepak raga bulatan,” katanya.

Sementara itu, Zahari melahirkan rasa bangga dengan pelbagai penghargaan dan pengiktirafan buat bapanya dengan yang pertama ialah pengisytiharan Hamid Mydin sebagai Pencipta dan Pengasas Permainan Sepak Raga Jaring oleh PSM pada 7 Ogos 1977.

“Dua kali saya bawa Allahyarham ke Kuala Lumpur iaitu ketika ke Istana Negara dan Muzium Negara. Sebagai anak, tentu sekali saya berasa bangga dengan pengiktirafan yang diterimanya atas jasa-jasanya dalam sukan sepak takraw,” katanya.

Yang Dipertua (atau Presiden) PSM ketika itu, (Allahyarham Tan Sri) Mohd. Khir Johari turut menganugerahkan Pingat Emas Khir Johari kepadanya dalam majlis pengisytiharan Pencipta dan Pengasas Permainan Sepak Raga Jaring itu di Dewan Sekolah Tinggi Han Chiang, Pulau Pinang.

Hamid pada dua tahun kemudian, turut dianugerahkan Pingat Jasa Masyarakat (PJM) oleh Tun Sardon Zubir (Allahyarham) bersempena hari jadi Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang itu yang ke-62.

Anugerah seterusnya ialah Pingat Pangkuan Negara (PPN) daripada Yang di-Pertuan Agong kelapan, Tuanku Sultan Iskandar Sultan Ismail (Almarhum) di Istana Negara, Kuala Lumpur pada 4 Jun 1986.


Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) dengan Yussof sebagai Yang Dipertuanya sehingga kini pula menyampaikan anugerah Tokoh Sukan Sepak Takraw 1988 kepada Hamid.

Satu pameran mengenai jasa dan sumbangannya dalam sepak takraw pernah dilangsungkan di Muzium Negara, Kuala Lumpur dari 25 Mei hingga 17 Jun 1979 sempena Minggu Sukan Malaysia anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Bahan-bahan sejarah sepak takraw Hamid juga telah diserahkan Zahari kepada Arkib Negara, Kuala Lumpur pada 4 Julai 2013 untuk tatapan dan kajian generasi akan datang. – BebasNews

HAMID Mydin (dua dari kiri) dan Mohd. Zahari Hamid (kanan) di Muzium Negara pada 1979 sempena Minggu Sukan Malaysia. – Foto infotakraw.com

Artikel asal: https://bebasnews.my/2021/12/18/hamid-mydin-satu-pengisahan-bapa-sepak-takraw-dunia/

Abdul Hafiz Ahmad

haziqhamsyarie@yahoo.com
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai Buletin Utama dan Harian Watan 1994-’96. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena, Formasi (Astro Arena) dan Ruang Bicara (BNC). Juga Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2010-17 dan Pemenang Pertandingan Penulis Sukan Piala Asia 2007 Konfederasi Bola Sepak Asia